SUTRADARA dan penerbit memerlukan keberanian dan keupayaan lebih kuat untuk menghidupkan kembali sesebuah Filem. Apa lagi jika karya itu pernah mendapat perhatian ramai pada suatu zaman.
Datuk Fizz Fairuz menanam keberanian untuk duduk di kerusi pengarah dan penerbit bagi menghidupkan jenama Mat Tudung dalam sebuah prekuel Mat Tudung Begins.
Jika anda terlupa, pada 2014, filem Mat Tudung arahan Waan Hafiz berjaya meraih kutipan RM1 juta. Fizz Fairuz ingin mengulang kejayaan itu namun dengan fokus dan target baru iaitu sebanyak RM10 juta kutipan.
Sekiranya pernah menonton filem Mat Tudung sembilan tahun lalu, semestinya anda akan mengharapkan filem itu akan dikemas ulang menjadi sebuah naskhah baru, jenaka segar dan indah.
Mat Tudung Begins mengekalkan Fizz sebagai watak utama bernama Johari. Dia bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat barangan sukan. Kerana dia berjaya mendatangkan keuntungan, bosnya memberikan Johari cuti selama seminggu.
Ketika itulah plot cerita mencapah apabila Johari bekerja di sebuah hotel bagi membantu hotel berkenaan memberikan perkhidmatan terbaik buat para juri The Forbest.
Mat Tudung Begins menampilkan Achey, Isyariana, Kazar juga dua pempengaruh iaitu Maryam Durian Kimchi dan Mimi Peri sebagai pelakon taruhnya. Saya berpendapat, Fizz meletakkan orang yang tepat bagi setiap watak.
Kesemua pelakon berjaya membawakan karakter mereka dengan baik. Masing-masing dilihat sangat serasi di dalam skrin. Menariknya, tidak ada orang yang benar-benar jahat di dalam filem ini.
Tidak menemui apa-apa
Seorang pemuzik terkenal Indonesia Erwin Gutawa berkongsi sebuah frasa yang dipanggil ‘mati tahun’ iaitu pengkarya merasakan hasil kerja pada zaman tertentu adalah yang paling bagus.
Mereka harus mengolah atau ‘mencetak’ sesuatu daripada standard zaman tersebut tanpa menilai situasi dan warna karya hari ini.
Itulah yang berada di dalam fikiran saya semasa menonton Mat Tudung Begins. Walaupun ia sebuah prekual, ia tidak memberikan satu perasaan baharu semasa menontonnya. Masih terasa seperti berada di era filem 2014.
Ya, jalan ceritanya berbeza, namun ia sangat mudah ditebak, jenakanya biasa sahaja tidak ada yang benar-benar menampar atau menggeletik daripada act 1 sehinggalah act 3 filem ini.
Ada banyak kelompongan dari segi pergerakan plot seperti bagaimana Johari yang hanya bercuti seminggu boleh menyelesaikan sebuah konflik besar di semua hotel yang memakan masa lebih panjang dari itu.
Beberapa bahagian pula nampak seperti terlalu berusaha sedangkan jenaka seharusnya mengalir penuh bersahaja.
Sebagai penonton wanita, ada jenaka yang sedikit kurang selesa terutama ketika Johanna dan Sabrina cuba mencari saiz payudara yang sesuai untuk penyamaran mereka.
Sebenarnya, filem ini membawakan sebuah persoalan, seperti watak Johari yang menanyakan mengapa sesebuah barang atau produk akan mudah laris sekiranya penjualnya seorang wanita? Malangnya, ia tidak di bawah ketengah untuk dibedah.
Selain itu, produksi mungkin terlepas pandang untuk meneliti semula bunyi sepanjang filem ini. Ada bahagian yang terlalu kuat, bingit, tidak selari seperti di pembukaan filem juga ketika babak telefon berdering.
Mat Tudung Begins sememangnya boleh memberikan penonton lebih daripada apa yang ditampilkan di layar hari ini sekiranya pasukannya duduk sama mengolah dan menyusun semula skrip dengan plot yang lebih segar.
Garapannya masih longgar, namun pujian atas usaha, kesabaran dan keberanian masih wajar diberikan.