Kraftangan Malaysia, Royal Selangor tingkat industri kraf

Kraftangan Malaysia, Royal Selangor tingkat pencapaian industri kraf

‘AINU Sham Ramli (duduk, kiri) dan Yong Yoon Li (duduk, kanan) yang masing-masing mewakili Kraftangan Malaysia serta Royal Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan Khairul Firdaus Akbar Khan (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Kraftangan Malaysia dan Royal Selangor International Sdn. Bhd. (Royal Selangor) bukan sahaja membantu usahawan kraf mengembangkan bakat dan perniagaan mereka, malah meningkatkan kemahiran tenaga kerja kedua-dua belah pihak.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan kerjasama strategik dua hala melalui inisiatif merangkumi aspek pembangunan produk, pemasaran dan promosi serta latihan.

Ketua Pengarah Kraftangan, ‘Ainu Sham Ramli berkata, Kraftangan Malaysia sangat bertuah kerana dapat menjalin kerjasama dengan Royal Selangor yang diketahui umum antara syarikat sangat dikenali sebagai pengeluar produk kraf piuter.

Katanya, menerusi kerjasama strategik berkenaan, Kraftangan Malaysia dan Royal Selangor dapat memanfaatkan informasi dan kepakaran masing-masing bagi penghasilan produk beridentitikan budaya Malaysia khasnya dalam kraf logam.

“Di samping itu, ia dilihat mampu membuka peluang kepada usahawan kraf bidang lain untuk bekerjasama dengan Royal Selangor dalam usaha mempelbagaikan lagi variasi produk serta memperluas saluran pemasaran di bawah jenama syarikat tersebut,” katanya pada Majlis Pelancaran Koleksi Heritage Royal Selangor dan Menandatangani MoU antara Kraftangan Malaysia dan Royal Selangor, di sini kelmarin.

MoU itu ditandangani antara ‘Ainu Sham dan Pengarah Urusan Royal Selangor, Yong Yoon Li.

Majlis disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan serta Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Pada majlis sama, Royal Selangor turut mengadakan pelancaran koleksi produk terbaharu Heritage Royal Selangor yang beridentitikan Malaysia.

Menurut ‘Ainu Sham, ruang kerjasama yang diterokai itu secara langsung membuka peluang latihan industri dan lanjutan belajar bagi kedua-dua pihak yang sekali gus selaras dengan hala tuju Institut Kraf Negara (|KN) untuk menjadi sebuah institusi peneraju kecemerlangan pengajian kraf berinovasi dan berkemahiran tinggi.

“Pelajar IKN yang berpeluang menjalani latihan industri di Royal Selangor, dapat meningkatkan kemahiran dan peluang laluan kerjaya yang lebih baik. Tenaga kerja mahir di Royal Selangor pula dapat mengikuti lanjutan latihan kemahiran di bawah program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditawarkan oleh IKN,” ujarnya.

“Program persijilan ini dapat melengkapkan pekerja mahir ini dengan kelayakan yang diktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK),” katanya.

Katanya, sebagai permulaan kerjasama strategik ini, Kraftangan Malaysia mengadakan aktiviti demonstrasi kraf ukiran kayu, batik lukis, anyaman rotan, tenunan songket dan seramik oleh pelajar-pelajar IKN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya