CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang dalam perancangan untuk menguatkuasakan undang-undang pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) ke atas setiap premis taska yang berdaftar bagi menangani kes penderaan kanak-kanak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemasangan CCTV di pusat jagaan kanak-kanak itu bukan sahaja bertujuan mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku, tetapi sebagai rekod simpanan sekiranya diperlukan untuk rujukan.
Menurut beliau, KPWKM akan berbincang mengenai perkara tersebut bersama jabatan dan agensi berkaitan termasuk meneliti pelbagai aspek terutamanya berkaitan kos pemasangan.
“Kita beri arahan (pemasangan CCTV), tetapi belum ada dalam penguatkuasaan undang-undang (untuk mewajibkan), kita hanya boleh menggalakkan mereka (pengusaha taska).
“Insya-Allah (penguatkuasaan undang-undang) dalam perancangan kita, sebab dulu pun kita suruh (tetapi) ada yang tidak bersetuju kerana kos pemasangan CCTV, jadi mungkin kita akan tengok adakah ia melibatkan kos yang terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Organisasi Dalam Komuniti (CBO) @KPWKM Tahun 2023 di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya hari ini.
Nancy berkata demikian ketika ditanya berhubung kejadian tular membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang, Kota Kinabalu.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Santubong itu berkata, dengan adanya pemasangan CCTV di setiap premis, ia dapat mengembalikan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke taska.
Pada masa sama, beliau juga tidak mahu ibu bapa di luar sana gusar atau was-was ketika sedang bekerja selepas meninggalkan anak masing-masing di pusat jagaan tersebut.
“Ibu bapa lebih yakin kalau tempat itu ada CCTV dan mereka dapat rujuk sebagai bukti, pengurus taska harus mematuhi CCTV itu dipsang. Kalau tak patuh, maka nampak dia mempunyai niat tidak baik,” katanya.
Pada 27 Mac lalu, media melaporkan tindakan mewajibkan pemasangan CCTV kepada pengusaha taska yang berdaftar secara sah di negara ini adalah antara tiga penambahbaikan yang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha meningkatkan operasi pusat jagaan kanak-kanak itu. – UTUSAN