KPM nafi pinggir isu sekolah daif di Sarawak

KPM nafi pinggir isu sekolah daif di Sarawak

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak akan mengabaikan isu sekolah daif meskipun terdapat dakwaan mengenai kegagalan kerajaan untuk memberikan peruntukan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sentiasa melakukan perbincangan dengan kerajaan negeri Sarawak berhubung isu tersebut selain memberi jaminan bahawa segala proses sedang dilakukan secara terancang. 

“Tak betul (dakwaan itu).  Segala pertemuan sudah kita lakukan dengan kerajaan Sarawak dan selepas ini akan ada lagi pertemuan dari semasa ke semasa. 

“Kita sudah lakukan pertemuan dengan pihak di sana. Setakat ini, proses kerja-kerja yang dapat kita lakukan adalah mengikut jadual,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Perasmian dan Penutupan Program Eksplorasi Merdeka di Muzium Negara, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr. Juanda Jaya menagih janji Kerajaan Persekutuan untuk membina sekolah daif di Sarawak.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, terdapat tiga sekolah yang amat daif di kawasannya yang perlu dibina baharu.

Menurutnya, sudah banyak surat dihantar kepada pihak KPM, namun tiada khabar gembira sehingga ke hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program Eksplorasi Merdeka, Fadhlina berkata, kementerian sentiasa menyokong usaha mengupayakan potensi guru-guru dalam menghasilkan pengajaran yang berinovatif, kreatif dan merentas kurikulum (EMK) bagi meningkalkan minat murid terhadap pembelajaran. 

Katanya, program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Muzium Malaysia dengan melibatkan penyertaan daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Inisiatif ini diadakan untuk memberi peluang kepada pihak berkepentingan khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bekerjasama membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid dan guru dalam usaha melahirkan modal insan yang sihat dari segi jasmani, emosi, intelek dan sosial seiring dengan sambutan bulan kemerdekaan negara. 

“KPM proaktif menyemarakkan patriotisme dalam kalangan murid dan guru sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Program ini menyatukan beberapa rakan strategik yang komited terhadap perkembangan dan pembangunan pendidikan di negara,” katanya. 

Sementara itu, program tersebut turut melibatkan penyertaan 207 buah sekolah dengan seramai 621 orang peserta. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya