PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.
Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan, ia sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.
Menurutnya, ia akan dilaksanakan secara rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 buah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.
“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik seterusnya mengangkat Karamah Insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti.
“Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja,” katanya hari ini.
KPM sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni yang merangkumi elemen perpaduan, silang budaya, kepelbagaian agama dan saling menghormati antara kaum dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan di institusi-institusi pendidikan bawah kelolaannya. – UTUSAN