PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membangunkan kurikulum persekolahan baharu khususnya bagi menilai semula mana-mana subtopik yang terlalu berat dan tidak selari dengan keperluan semasa murid.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pembangunan kurikulum baharu itu akan mengambil kira pandangan pakar, pemegang taruh dan masyarakat umum menerusi Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027
Menurutnya, setakat ini, seramai 1600 orang yang terdiri daripada guru, pensyarah, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum.
“Bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan, KPM melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
“Tinjauan itu dilaksanakan secara dalam talian mulai esok (25 Ogos) sehingga 15 September depan melalui pautan https://bit.ly/KurikulumKita2027,” katanya hari ini.
KPM pada masa sama menghargai pandangan dan cadangan daripada pemegang taruh dan masyarakat umum berkaitan kurikulum persekolahan yang sedang dilaksanakan di semua sekolah KPM.
Ini termasuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Katanya, pelaksanaan tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran dijalankan secara efektif dengan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
“Mana-mana subtopik yang terlalu berat dan tidak selari dengan keperluan semasa murid akan dinilai semula.
“KPM juga telah melaksanakan program Modul Bimbingan (MOBIM) untuk mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai inisiatif membantu guru memahami kurikulum dan melaksanakan PdP dengan lebih berkesan,” katanya.
KPM berkata, MOBIM telah disebar luas ke semua sekolah mulai Mac 2023 bermula dengan Tahun Satu.
MOBIM untuk Tahun Dua dan seterusnya akan diedarkan secara berperingkat sehingga selesai. MOBIM boleh diakses melalui pautan https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/mobim/home
“KPM sentiasa berusaha untuk terus memastikan murid dan guru berada dalam ekosistem kurikulum yang membangun potensi akademik dan sahsiah,” katanya. – UTUSAN