SHAH ALAM: Ekzos motosikal tiruan antara pelbagai barangan bernilai RM1.7 juta yang dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini.
Ribuan eksibit itu melibatkan 50 kes termasuk alat ganti kenderaan yang dirampas dalam operasi dan serbuan sejak 2013.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, kesemua kes pelupusan itu selesai proses siasatan termasuk tujuh daripadanya yang didakwa dan dijatuhi hukuman mahkamah.
Katanya, barangan itu antaranya peralatan komputer, produk kecantikan dan kesihatan, aksesori telefon, pakaian dan instrumen aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
“Kes itu turut melibatkan 100 ekzos dan tempat duduk motosikal tiruan yang dirampas di sebuah stor tahun lalu.
“Kesalahan dikesan antaranya penjualan barangan tiruan, penyelewengan barang kawalan subsidi, hakcipta dan penandaan harga yang mengelirukan,” katanya pada sidang akhbar Pelupusan Eksibit Perdana 2023 di Stor Penyimpanan KPDN Selangor di Bukit Raja di sini, hari ini.
Tambah beliau, semua 50 kes terlibat mendapat arahan pelupusan bermula Januari sehingga bulan ini.
Terdahulu, beliau bersama pelbagai wakil cap dagang menyaksikan proses pelupusan itu yang turut menggunakan jentera penggelek.
Jelas Mohd. Zuhairi, kes itu antaranya disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Hak Cipta 1987.
“Tindakan kes itu masing-masing melibatkan rampasan berjumlah RM666,799 bagi Akta Cap Dagangan, Akta Kawalan Bekalan (RM605,665),dan Akta Hak Cipta 1987 (RM287,000).
“Selain itu, ia meliputi dua kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan satu kes Akta Perlindungan Pengguna 1999,” ujarnya.
Katanya lagi, rampasan ekzos motosikal dilakukan selepas pihaknya menerima aduan pemilik cap dagang dan turut mengambil kira risiko keselamatan pengguna. – UTUSAN