KPDN rampas 4.31 juta liter minyak diesel, nilai lebih RM34 juta

KPDN rampas 4.31 juta liter minyak diesel, nilai lebih RM34 juta

ARMIZAN Mohd. Ali mendengar penerangan dalam sidang akhbar berhubung Op Tiris di KPDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 4.31 juta liter minyak diesel subsidi bernilai RM9.23 juta menerusi Op Tiris bermula Mac lalu hingga semalam.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan itu diperoleh menerusi 459 kes rampasan yang direkodkan di seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian turut menyita pelbagai aset serta peralatan lain bernilai lebih RM25.24 juta menjadikan keseluruhan rampasan minyak dan aset berjumlah RM34.48 juta.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 10,351 pemeriksaan dilakukan, manakala sebanyak 121 aduan diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh sama.

“Kami turut menahan 379 indvidu melibatkan 305 warga tempatan, 71 warga asing dan tiga pemastautin tetap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, operasi selama enam bulan itu dilaksanakan bertujuan membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.

Armizan berkata, berdasarkan analisis data, KPDN juga bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan Op Tiris Fasa 2.0 sehingga 31 Disember depan.

Bagaimanapun, katanya, Ops Tiris Fasa 2 ini akan dilaksanakan dengan beberapa penambahbaikan termasuk meluaskan skop siasatan supaya lebih menyeluruh meliputi rantaian bermula daripada sumber pembelian bekalan sehingga kepada pembeli haram.

“Ini bertujuan mendapatkan gambaran terperinci berhubung keseluruhan rantaian pasaran gelap minyak diesel yang disyaki turut melibatkan sindiket,” katanya.

Katanya, operasi dan risikan juga tidak hanya tertumpu di sempadan negara sebaliknya turut dilaksanakan di dalam negara.

Dalam perkembangan sama, katanya Op Tiris Fasa 2 juga akan merintis risikan terhadap ketirisan subsidi lain seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras dan gula.

Katanya, ia turut melibatkan penyertaan Unit Risikan Perniagaan (BIU) yang akan beroperasi di bawah Bahagian Penguatkuasa KPDN bermula 1 September ini.

“BIU akan menjalankan tugas risikan perniagaan di pasaran melibatkan sektor barang kawalan subsidi, perdagangan, pengedarab, perniagaan dalam talian dan hal ehwal kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya