PADANG BESAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel ke Thailand menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, di sini, semalam.
Operasi pada pukul 8.30 pagi itu dilakukan ke atas dua buah kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran asing yang dikenal pasti mempunyai tangki tambahan.
Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, sewaktu pemeriksaan pertama, sejumlah kira-kira 400 liter minyak diesel ditemui berada dalam tangki tambahan yang diubah suai pada sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.
“Manakala pemeriksaan pada kenderaan kedua jenis sama yang ditahan juga turut membawa kepada penemuan kira-kira 400 liter minyak diesel yang cuba diseludup ke negara jiran.
“Nilai rampasan bagi kedua-dua kenderaan ini adalah dianggarkan berjumlah RM103,720,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norazah berkata, pihaknya turut menahan dua orang suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan pemandu kenderaan itu bagi siasatan lanjut.
Katanya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan membeli minyak diesel berkenaan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran asing di setor-setor haram sekitar kawasan Wang Kelian.
“Kenderaan yang masuk ke Malaysia pada waktu petang itu akan keluar semula ke negara jiran dengan melalui pintu sempadan Kompleks ICQS Wang Kelian seawal pukul 8 pagi keesokan harinya,” katanya.
Dalam pada itu, Norazah berkata, suspek yang ditahan itu juga dipercayai menerima upah daripada sindiket dari negara jiran bagi membawa masuk minyak diesel tersebut.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kes itu akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini,” katanya.-UTUSAN