Kongsi ilmu 'pertanian bandar' menerusi Projek Taman Agro Buddies - Utusan Malaysia

Kongsi ilmu ‘pertanian bandar’ menerusi Projek Taman Agro Buddies

FAHMI Zainol menurunkan tandatangan sebagai tanda merasmikan Taman Agro Buddies di PAKK Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Projek Taman Agro Buddies iaitu projek pemindahan ilmu berimpak kepada komuniti anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang merupakan kesinambungan daripada Projek Agropreneur Muda fasa pertama yang dilaksanakan pada tahun lepas.

Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat universiti itu, Prof. Madya Dr. Kay Dora Abd. Ghani berkata, projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selain Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Kuala Muda, Penaga di sini yang bertindak selaku tuan rumah.

Menurut beliau, projek fasa pertama lebih kepada menyemai kesedaran dalam kalangan peserta iaitu remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Jelas Kay Dora, projek kali ini pula menjurus kepada perkongsian ilmu pertanian secara hidroponik atau ‘urban farming’ (pertanian bandar) dengan lebih mendalam kepada mereka.

“Alhamdulillah, untuk projek tahun lepas, kita telah memenangi tempat ketiga bagi kategori Projek Komuniti Berimpak Bersama Komuniti untuk Anugerah Metic UiTM.

“Tujuan utama kita (membangunkan projek fasa kedua) ialah bagi memastikan kelestarian projek sebegini bersama komuniti. Kita tak nak buat ‘one-off’ projek sahaja. Jadi, mesti ada kesinambungannya pada tahun ini.

“Insya-Allah, pada tahun ini juga, kita akan pastikan tanaman yang dijaga oleh anak-anak ini mengikut kualiti daripada Jabatan Pertanian untuk dijual dan dipasarkan selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri acara Perasmian Taman Agro Buddies: Meningkatkan Keusahawanan dan Pendapatan Untuk Golongan B40 yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian negeri (Pengembangan), Awang Iffaizul Awang Mohamad Sapuani dan Pengerusi PAKK Kuala Muda, Abdullah Yaacob.

Tambah Kay Dora, kesinambungan projek itu diharap berterusan sehingga ke fasa ketiga pada tahun depan yang melibatkan kerja-kerja pemasaran produk serta fasa-fasa lain hingga membolehkan kesemua peserta berupaya berdikari pada masa depan.

Terdahulu, Fahmi ketika berucap sempena perasmian projek itu percaya projek berkenaan telah memberi kesedaran tentang kepentingan bidang pertanian dalam menjana pendapatan selain menjadikan agropreneur sebagai pilihan dalam bidang kerjaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya