MELAKA: Kerajaan negeri akan membina kolam takungan air sebagai jalan penyelesaian kepada kejadian banjir kilat yang sering melanda Taman Rambai Jaya dan Taman Rambai Utama dekat sini.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan dijangka siap sebelum hujung 2024.
Menurutnya, pihaknya perlu membuat kajian terperinci terutama mencari tempat yang sesuai untuk pembinaan kolam takungan tersebut.
Ujarnya, setakat ini dua lokasi dikenal pasti adalah di kawasan lapang di Taman Rambai Jaya dan depan Dewan Serbaguna Taman Rambai Utama.
“Saya amat prihatin dengan masalah penduduk di sini dan mereka tahu perkara ini. Saya hendak satu penyelesaian yang tuntas atasi masalah ini dengan segera.
“Dalam tinjauan yang dilakukan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kita melihat bagaimana cara terbaik mengatasi banjir kilat di kawasan tersebut.
“Ada cadangan daripada MBMB agar sebuah kolam takungan air yang baharu perlu dibina di sini dan kita akan usahakan bagi mendapat peruntukan yang sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Tambah Rais, banjir kilat kerap berlaku di situ kerana kedua-dua taman berkenaan terletak berhampiran dengan sungai. -UTUSAN