KKM teliti empat isu libatkan petugas kesihatan awam   - Utusan Malaysia

KKM teliti empat isu libatkan petugas kesihatan awam  

ZALIHA Mustafa (tengah)  menjawab soalan petugas kesihatan awan pada sesi dialog bersama pegawai-pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti secara serius berhubung empat isu yang sering dikemukakan petugas kesihatan awam di negara ini dan berjanji akan memberi solusi yang bermanfaat untuk pihak terlibat.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara isu yang diberi keutamaan ketika ini ialah mengenai elaun perpindahan pegawai perubatan ke Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Sumber Manusia (BSM) sedang dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mempertimbangan elaun yang telah dinyatakan dalam peraturan perbendaharaan.

“Selain itu isu penurunan gred bagi pegawai farmasi dan pergigian yang dilantik ke skim tetap juga akan turut dibawa ke perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Begitu juga dengan tempoh kontrak maksimum lima tahun bagi pegawai farmasi turut dalam perhatian. Saya akan minta Bahagian Sumber Manusia untuk membuat penilaian semula bagi memastikan laluan kerjaya profesion ini lebih terjamin pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog bersama pegawai-pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan untuk pendigitalan sistem kesihatan pula memang menjadi keutamaannya untuk dimantapkan dan diperluaskan di fasiliti-fasiliti KKM di seluruh negara.

“Menjadi impian saya untuk melihat EMR (Electronic Medical Record) dilaksanakan dalam kadar yang segera mungkin.

“Alhamdulillah kerana sesi libat urus bersama warga kerja KKM  hari ini berjalan lancar dan ia adalah platform terbaik kepada mereka untuk bersuara secara terus kepada saya bagi tujukan penambahbaikan di KKM.

“Insya-Allah Allah, saya bertekad untuk mewujudkan ekosistem kerja yang lebih inklusif sekaligus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN