PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melancarkan Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pascabayar (Postpaid) Penjawat Awam sempena sambulan Bulan Kebangsaan.
Pakej 5G Rahmah akan mula berada di pasaran bermula Khamis ini manakala Insentif Pascabayar (Postpaid) Penjawat Awam boleh didapati bermula 16 September.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pakej 5G Rahmah yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia memberikan akses perkhidmatan 5G berserta telefon pintar berharga tidak melebihi RM240.
Beliau berkata, pakej tersebut juga hadir bersama pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabit (GB) serta tertakluk kepada kontrak langganan selama 24 bulan.
“Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam pula menawarkan rebat sebanyak RM10 sebulan bagi tempoh 12 bulan kepada semua penjawat awam seluruh negara Malaysia termasuk Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ia terpakai untuk pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas. Pendaftaran adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh setiap syarikat telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua pakej tersebut hanya akan berada di pasaran sehingga 31 Disember tahun ini.
Beliau berkata, semua maklumat dan syarat lanjut bagi kedua-duanya pakej tersebut boleh didapati di laman sesawang CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes).
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKD, Ma. Sivanesan serta Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat telekomunikasi. – UTUSAN