PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahu perbincangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diadakan segera bagi meneliti aspek perlindungan keselamatan sosial membabitkan para pekerja yang berada di dalam industri seni dan kreatif.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi menjaga kebajikan pekerja di dalam industri berkenaan yang bergantung pendapatan berdasarkan projek.
“Saya menyentuh tentang keperluan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) dan Kumpulan MyCreative Ventures untuk mengadakan perbincangan dengan Perkeso bagi meneliti aspek keselamatan sosial para pekerja dalam industri seni dan kreatif. Hal ini kerana kita lihat rakan-rakan dalam bidang perfileman atau pun kru bagi industri muzik, mereka ‘go project by project basis’.
“Kebiasaannya, ada aspek-aspek keselamatan sosial yang perlu diberi perhatian termasuk isu pencen ilat dan khairat kematian. Jadi, saya harap perbincangan itu dapat diadakan pada kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) dan Pelancaran Tabung Komuniti Filem di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selain pekerja industri seni dan kreatif, beliau mahu para wartawan yang berada dalam lapangan turut mempunyai perlindungan keselamatan sosial.
“Saya beberapa kali sebut sebelum ini tentang keperluan untuk menjaga kebajikan, bukan hanya mereka yang terlibat dalam industri kreatif, malah, juga dalam kalangan wartawan berstatus ‘stringer’, mereka sering kali hadapi isu dalam keselamatan sosial,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyuarakan hasrat supaya perlindungan keselamatan sosial khususnya untuk penggiat industri seni dan kreatif dapat diperkenalkan dengan pakej yang lebih berpatutan.
“Insya-Allah, mungkin pakej yang lebih Rahmah kerana kita tahu ada melibatkan sedikit kos, tetapi, saya difahamkan jumlahnya tidak terlalu besar tetapi manfaatnya lebih banyak, jadi ini yang kita sedang bincangkan,” katanya.-UTUSAN