SEPANG: “Setakat malam ini (malam tadi), kita sudah dapat majoriti mudah, malah hampir menuju dua pertiga,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Itu pendedahan berani dibuat Amirudin berdasarkan semakan beberapa buah badan tinjauan dan undian kecenderungan pengundi di Selangor menjelang hari mengundi Sabtu ini.
Amirudin yang juga calon DUN Sungai Tua berkata, berdasarkan semakan itu, gabungan PH dan BN kini berada di hadapan berbanding Perikatan Nasional (PN).
“Saya semak bukan satu agensi dan saya juga semak bukan satu badan tinjauan atau pool (undian). Bagaimanapun, saya bukan rasa nak angkuh, sombong dan melompat terlalu awal kerana kita masih ada empat hari lagi.
“Tetapi, saya sudah kira-kira dan hitung, setakat ini (kita mendahului). Mereka (PN) nak claim (dakwa) apa, dakwalah,” katanya ketika berucap pada siri Ceramah Kita Selangor di Dataran Sadiman, Bukit Changgang di sini, malam tadi.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau mengakui Barisan Nasional (BN) berjaya membangunkan Selangor menjadi sebuah negeri maju.
Menurutnya, beliau tidak pernah menafikan perkara itu, malah kini tugas dan peranan itu disambung oleh Pakatan Harapan (PH).
“Siapa bangunkan Selangor sampai jadi negeri maju, Barisan Nasional. Saya tak pernah nafi, memang BN telah majukan.
“Dan siapa sambung tugas (memajukan Selangor) itu, Pakatan Harapan. Sekarang dua-dua elemen itu terbukti membawa kemajuan di Selangor,” katanya.
Katanya, gabungan ini akan menjadi gabungan paling mantap dan kukuh untuk membawa Selangor terus maju pada masa hadapan.
Jelasnya lagi, dalam tempoh setahun dua lagi, jika Kerajaan Perpaduan ini berjaya dikekalkan, maka tidak mustahil gabungan perpaduan ini akan bertahan bukan satu atau dua penggal sebaliknya 60 tahun BN mentadbir negara sebelum ini.
Katanya, gabungan 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada hari ini adalah gabungan parti terbesar pernah dibentuk dalam sejarah negara. – UTUSAN