Kilang proses batu kapur simpan diesel tanpa lesen - Utusan Malaysia

Kilang proses batu kapur simpan diesel tanpa lesen

ANGGOTA KPDN memeriksa tangki minyak diesel dalam serbuan di sebuah kilang memproses batu kapur di Keramat Pulai Industrial Park, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 12,000 liter minyak diesel yang disimpan tanpa lesen dalam serbuan di sebuah kilang memproses batu kapur di Keramat Pulai Industrial Park, di sini semalam.

Pemeriksaan melalui Op Tiris itu dijalankan pada pukul 12.10 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan di premis itu menemui sebuah skid tank berisi 12,000 liter cecair disyaki minyak diesel.

Katanya, ketika pemeriksaan, seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak, gagal mengemukakan lesen atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel.

“Sehubungan itu, kesemua barangan seperti dokumen dan cecair yang disyaki minyak diesel telah disita dan lelaki itu juga ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM33,000. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut turut dijalankan ke atas syarikat pembekal minyak diesel itu di mana tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kerana disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang- barang kawalan.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan ini sekali gus mengelak berlakunya ketirisan subsidi kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya