ALOR GAJAH: Seorang pesara tentera bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang setiap tahun walaupun telah 16 tahun bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Salim Jaafar, 60, berkata, mengibarkan bendera Malaysia telah menjadi kelazimannya sejak berkhidmat dalam pasukan beruniform.
Katanya, setiap tahun dia akan memperuntukkan sehingga RM400 untuk membeli bendera pelbagai saiz bagi menghiasi laman kedai makannya yang terletak di Durian Tunggal di sini.
“Saya terpanggil untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana semangat patriotik dan sayangkan negara telah ditanam sejak menyertai ATM pada 1985. Ketika itu saya memasang bendera di sekitar kem dan meneruskan rutin itu di rumah selepas bersara pada 2007.
“Di kedai ini saya mulakan sejak empat tahun lalu. Apa yang uniknya saya memasang 66 bendera bersaiz besar mengikut tahun negara merdeka dan jumlahnya akan bertambah setiap tahun.
“Kerja memasang bendera telah bermula sejak 1 Ogos lalu dan dikibarkan sehingga 16 September ini. Selain itu, sebanyak 300 helai bendera kecil turut digantung secara kekal sehingga tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Mohd. Salim, dia akan menggantung bendera baharu setiap tahun berbanding menggunakan bendera lama yang telah lusuh atau koyak.
Menurutnya, warna yang jelas menarik perhatian sesiapa yang menatapnya selain menyemai rasa bangga terhadap negara.
“Saya berasa puas melihat laman kedai dipenuhi Jalur Gemilang. Walaupun ada yang kata membazir tetapi kerana minat saya teruskan juga,” katanya. – UTUSAN