PETALING JAYA: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
Mohd. Shuhaily mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang memegang jawatan itu selepas dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, bermula 23 Jun lalu.
Selain Mohd. Shuhaily, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat seramai 17 pegawai kanan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur bakal diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Allaudeen Abdul Majid dengan memangku pangkat Komisioner.
Katanya, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/ Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
“Pertukaran turut membabitkan Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) iaitu Datuk Noor Hisam Nordin yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dengan pangkat Deputi Komisioner.
“Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Alzafny Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Polis Malaysia, Urus Setia Pejabat KPN dengan pangkat Deputi Komisioner,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pertukaran turut membabitkan Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur, Senior Asisten Muhammad Idzam Jaafar yang dilantik sebagai Komandon Pulapol manakala kekosongan ditinggalkan beliau diisi oleh Senior Asisten Komisioner Maarof.
Katanya, kesemua pertukaran melibatkan 18 pegawai itu akan berkuat kuasa pada 30 Ogos ini.- UTUSAN