Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang ditentukan pimpinan PN Pusat - Utusan Malaysia

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang ditentukan pimpinan PN Pusat

MUHAMMAD FAUZI Yusoff (kanan) ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis angkat sumpah ADUN Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN), George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pimpinan pusat Perikatan Nasional (PN) akan menentukan siapa yang bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, setakat ini Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar beberapa nama calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut termasuk nama beliau sendiri serta Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang, Zulkefli Bakar.

”Ketua pembangkang DUN akan ditentukan oleh pimpinan PN pusat, kita cuba untuk selesaikan (Ketua Pembangkang DUN), ia tidak dapat dimuktamadkan pada pagi ini.

”Calon Ketua Pembangkang ini ada beberapa nama yang dihantar masing masing oleh Pas dan Bersatu, kami (Pas) ada tujuh ADUN manakala Bersatu pula empat ADUN yang mana Pas diketuai saya selaku Pesuruhjaya PAS dan Zulkefli (Bersatu), ini antara nama-nama yang telah dihantar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis angkat sumpah ADUN Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), PN berjaya memenangi 11 kerusi majoriti pengundi Melayu antaranya mempertahankan DUN Penaga, merampas Permatang Berangan; Permatang Pasir; Penanti; Seberang Jaya; Sungai Dua;Telok Ayer Tawar; Pinang Tunggal; Sungai Bakap; Teluk Bahang dan Pulau Betong.

Pada Mac lalu, PN Pulau Pinang menamakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq sebagai Ketua Pembangkang untuk DUN Pulau Pinang.

Perkara itu dibuat selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada gabungan parti politik antaranya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebelum ini, jawatan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang dipegang bekas ADUN Sungai Dua dari BN, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

Menurut Muhammad Fauzi, pemimpin yang akan mengisi jawatan Ketua Pembangkang itu akan diumumkan sebelum DUN Pulau Pinang bersidang pada November depan.

”Masalah tak besar sangat, tak lantik lagi Ketua Pembangkang hari ini.

”Semua negeri sedang memuktamadkan (Ketua Pembangkang), Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang juga adalah negeri-negeri yang pimpinan Pusat PN akan muktamadkan Ketua Pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhammad Fauzi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pimpinan Pusat PN untuk diputuskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya