PUTRAJAYA: Rakyat negara ini tanpa mengira fahaman politik diseru agar mengenepikan perbezaan ideologi dalam isu sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata, sebaliknya semua pihak perlu menekankan aspek untuk mengeratkan lagi hubungan antara rakyat.
“Rakyat pada ketika ini sewajarnya dipupuk untuk lebih mengeratkan semangat perpaduan agar dapat membina negara bagi bangkit semula.
“Inilah elemen penting yang akan mengukuhkan kekuatan dalam mana-mana kerajaan dan kita kena mengurangkan isu politik apabila menyentuh sambutan merdeka,” katanya selepas program berjalan santai Merdeka 2023 bersempena sambutan kibar Jalur Gemilang bersama agensi-agensi portfolionya, di sini hari ini.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membidas Perikatan Nasional (PN) kerana mempolitikkan tema dan logo Hari Kebangsaan pada kali ini susulan pengumuman Ketua Pemuda blok itu, Ahmad Fadhli Shaari berhubung penggunaan berbeza untuk sambutan melibatkan empat negeri dikuasai PN. – UTUSAN