PETALING JAYA: Kertas Putih Kesihatan (KPK) mengandungi beberapa strategi utama yang selari dengan prinsip Ekonomi MADANI yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lalu.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, KPK selari dengan prinsip Ekonomi Madani yang berlandaskan pembangunan ekonomi secara inklusif dan mampan di samping memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat.
Melalui KPK, beliau berkata, penekanan diberi kepada pembangunan sistem kesihatan inklusif yang memenuhi keperluan kesihatan setiap individu selain memastikan kemampanan jangka panjang sistem kesihatan dan ini selari dengan tumpuan Ekonomi MADANI iaitu meningkatkan darjat kehidupan rakyat.
Katanya, saranan KPK agar pembiayaan kesihatan dipertingkatkan kepada lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan sahaja memberi kesan positif terhadap tahap kesihatan rakyat, tetapi merangsang ekonomi, selari dengan halatuju Ekonomi MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.
Di samping itu, Dr. Zaliha percaya, penjagaan kesihatan bukanlah kos, tetapi pelaburan kerana komuniti sihat adalah tunjang kepada masyarakat yang sejahtera dan produktif.
“Strategi utama KPK yang selari dengan prinsip Ekonomi MADANI, pertamanya memberi tumpuan kepada pengukuhan kesihatan primer dan itu merupakan langkah penting yang menekankan usaha pencegahan dan rawatan awal penyakit.
“Pendekatan ini membolehkan kita mencegah penyakit, mengelakkan komplikasi lanjut, justeru mengurangkan beban penyakit serta perbelanjaan rawatan hospital yang tinggi.
“Dengan ini, kita bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi juga menambah kepada produktiviti negara, kerana individu sihat dapat menyumbang kepada tenaga kerja secara aktif,” katanya.
Sebagai langkah untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan primer dan membawa penjagaan kesihatan lebih dekat dengan komuniti, Ekonomi MADANI memberi keutamaan kepada pembaikan klinik daif. Inisiatif ini melibatkan 1,200 buah klinik, di mana 436 buah klinik dijangka siap dibaiki pada tahun ini, dengan peruntukan sebanyak RM 111 juta.
Menurut Zaliha, KPK juga memberi penekanan kepada pendidikan dan promosi kesihatan dengan memberikan kesedaran awam bagi mendidik individu supaya mengambil berat terhadap kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Katanya, langkah proaktif ini bertepatan dengan fokus Ekonomi MADANI iaitu memupuk rakyat yang mementingkan kesihatan diri dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.
“Ketiga, melalui pendekatan whole of government, whole of society, semua pihak seharusnya memainkan peranan dalam menjadikan kesihatan sebagai agenda negara. Kerjasama antara semua pihak diperlukan, agar sumber-sumber kesihatan dapat digunakan secara efisien, efektif dan optimum.
“Akhir sekali, KPK menekankan kepentingan kerjasama dan inovasi dalam sektor kesihatan. Dengan menggalakkan kerjasama awam swasta, kita dapat memanfaatkan kekuatan kedua-dua sektor demi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Jelas Dr. Zaliha, satu contoh kerjasama awam-swasta ialah Skim Perubatan MADANI yang merupakan satu inisiatif rintis kerajaan melalui Kementerian Kesihatan yang kini dilaksanakan di 21 daerah terpilih dan akan diperluaskan lagi ke seluruh negara pada September ini.
Katanya, ia bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut).
“Manfaat skim ini adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah boleh mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan primer akut secara percuma di Klinik-klinik Perubatan Swasta (GP) yang berdaftar di bawah Skim Perubatan MADANI.
“Bagaimana Skim Perubatan MADANI dapat membantu rakyat? Pertamanya, penduduk B40 di kawasan bandar mudah mendapatkan rawatan apabila klinik GP berada dalam komuniti dan lebih dekat kepada golongan sasar, ini membolehkan pesakit menerima rawatan dengan cepat di GP berdekatan.
“Selain itu waktu operasi Klinik GP yang lebih fleksibel, selalunya termasuk selepas waktu pejabat dan hujung minggu berbanding waktu operasi Klinik Kesihatan yang terhad,” katanya.
“Keduanya, Skim Perubatan MADANI meringankan bebanan kewangan dengan menyediakan manfaat rawatan secara percuma.
“Walaupun KPK adalah rangka reformasi selama 15 tahun, saya komited untuk memulakan langkah-langkah reformasi dalam masa terdekat. Sebagai langkah seterusnya, saya akan memuktamadkan penubuhan badan pemantau bebas yang akan diberi kuasa untuk memantau pelaksanaan KPK,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar mengakui, reformasi kesihatan mengambil masa yang panjang, tetapi Ekonomi MADANI membantu pelaksanaan asas itu bermula.
Katanya, ia terutamanya melibatkan permulaan kerjasama awam-swasta melalui Skim Perubatan MADANI yang boleh dikembangkan ke pelbagai peringkat lagi.
“Kerjasama dengan swasta yang kita mahu selama-lamanya kerana hospital tidak lagi sesak dan GP pun dapat berkongsi pendapatan.
“Keduanya, peruntukan untuk baiki klinik itu sangat bagus sebab sekarang banyak klinik rosak, jadi tidak selesa sama ada kepada staf mahupun orang ramai,” katanya. – UTUSAN