LANGKAWI: Kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan Madani 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji penjawat awam yang menjadi tunjang utama kerajaan itu sepatutnya telah dinaikkan dua tahun lalu, namun kerajaan ketika itu tidak melaksanakannya termasuk melakukan kajian mengenai skim gaji dan persaraan golongan itu.
Menurut Anwar, mesyuarat bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini mengesahkan tidak ada sebarang langkah dibuat oleh kerajaan terdahulu untuk melihat perkara tersebut termasuk mengadakan sekurang-kurangnya mesyuarat berkaitan perkara itu.
“Penjawat awam ini patut naik gaji dua tahun sudah. Ini peraturan kita, setiap 10 tahun daripada zaman Tun Abdul Razak (Hussein) sampai Datuk Seri Najib (Razak) ada (gaji dinaikkan) tapi sejak mereka perintah tiga tahun lalu, jangan kata naik gaji mesyuarat pun tak ada.
“Padahal janji setiap 10 tahun mengikut keupayaan kewangan kalau boleh naik lah sedikit, tapi memang kena naik (ketika ini) sebab inflasi turut naik. Jadi keputusan kita hasil mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kita teliti balik.
“Kita periksa semula fail, jadi saya selaku Menteri Kewangan kata kena ada keputusan gaji penjawat awam dinaikkan kepada polis, tentera, penjawat-penjawat awam lain termasuk staf LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi),” katanya pada program Walkabout Pelancongan dan perasmian Geopark Discovery Centre (GDC) LADA di sini, hari ini.
Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri memaklumkan skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dengan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat bersama KSN, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan KPPA, Datuk Dr. Zulkapli Mohamad sebelum pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Tambah Perdana Menteri, langkah kenaikan sementara itu diputuskan mengikut keperluan semasa kerana kerajaan memerlukan sedikit masa untuk mengkaji ratusan skim gaji dan persaraan penjawat awam yang terdapat di negara ini.
“Saya cuba dalam Belanjawan Madani Oktober nanti, kita naikkan dulu sedikit gaji sementara kita buat (kenaikan) menyeluruh yang boleh siap tahun depan. Kalau tidak mai ke Langkawi, Pegawai Daerah kata kaji lama dah nak tunggu kaji saya pencen dulu.
“Itu sebab saya kata kerajaan Perpaduan ada pelan bertindak dan dalam masa sama saya nak tanya pasai apa tak buat kajian tahun sudah, dua tahun sudah atau tiga tahun sudah. Kalau (alasan) Covid-19 pun buatlah kajian dahulu, lepas itu (Covid-19 pulih) boleh naik (gaji penjawat awam),” katanya.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk memberikan elaun penjawat awam semenanjung yang bertugas di Pulau Langkawi seperti yang bakal dinikmati oleh penduduk Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung.
“Saya dah umumkan beberapa bulan yang lalu orang semenanjung kerja di Sabah dan Sarawak dapat elaun (tetapi) orang Sabah dan Sarawak mai kerja semenanjung tak ada elaun dan kita dah baiki (selesaikan) yang itu.
“Sekarang ini orang tanya juga, orang luar mai kerja di Langkawi kos dia bertambah terutama kerana penerbangan dan sebagainya. Maka kita dah luluskan walaupun belum diumumkan elaun penjawat awam yang bertugas di Langkawi,” katanya.
Sementara itu, menyentuh konteks kakitangan swasta di negara ini, Anwar berkata, kerajaan sudah di peringkat akhir kajian untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi membantu kenaikkan gaji golongan itu.
“Bagaimana pekerja lain seperti kakitangan hotel, syarikat dan kilang sedangkan penjawat awam kita naik gaji. Maka saya minta Kementerian Ekonomi siapkan kertas kajian ada tak negara guna duit kerajaan tolong gaji swasta, rupanya ada. Tidak mudah laksana dalam keadaan ekonomi sekarang tapi susah macam mana pun masalah dihadapi rakyat kena ada perubahan,” katanya. –UTUSAN