KLANG: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menganggap permintaan dan kritikan rakyat adalah lebih utama berbanding berdepan dengan blok pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun jumlah mereka bertambah.
Menurutnya, pembangkang yang kuat dalam DUN bukanlah perkara utama, sebaliknya ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mengangkat sumpah pada petang ini perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi keperluan rakyat.
“Setiap masa tugas exco dan Menteri Besar adalah berat, tak kisah mempunyai dua pertiga atau kurang, jadi permintaan bukan sahaja pembangkang tetapi rakyat juga agak tinggi, itu yang saya rasa semua exco kena melaksanakan tugas dengna sebaik mungkin.
“Suara dalam dewan satu hal, tetapi suara rakyat juga kuat dan selalunya tidak mengira kedudukan akan menyampaikan kritikan dan sebagainya dan kita kena menjawab dengan cepat dan tuntas atas setiap persoalan dibangkitkan,” katanya ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di pekarangan Istana Alam Shah, hari ini.
Terdahulu mengangkat sumpah jawatan dan Ikrar Aku Janji sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum Surat Cara Pelantikan diserahkan baginda kepada beliau dalam istiadat yang bermula pukul 11.
Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ikrar Aku Janji itu kemudian ditandatangani beliau bersama Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab sebagai saksi.
Istiadat angkat sumpah itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Selain itu, Amirudin juga mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai ahli ex-officio Dewan Diraja Selangor.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kesemua portfolio 10 anggota MMKN akan dimaklumkan selepas mesyuarat pertamanya pada Rabu ini termasuk wakil Barisan Nasional (BN) yang menjadi salah seorang daripadanya.
“Rabu nanti saya akan mengadakan mesyarat exco pertama dan tengah hari akan memaklumkan berkenaan portfolio exco selepas mesyuarat tersebut sekitar pukul 12 atau 12.30.
“Semua perwakilan ada 10 termasuk saya 11. BN pun ada sebab sebagai rakan kongsi kita kena bergabung bersama-sama dan saya juga percaya gabungan Perpaduan berjaya melepasi ujian pertama dalam pilihan raya,” ujarnya. – UTUSAN