PUTRAJAYA: Atlet sukan tempatan sama ada di peringkat sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT) akan dipertimbangkan pemberian biasiswa oleh kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) berkata, agihan biasiswa itu akan membabitkan atlet sukan dan pemain bola sepak yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
“Inisiatif ini penting demi pembangunan sukan negara selain melihat kejayaannya bagi tempoh jangka masa sederhana dan panjang.
“Saya komited memperjuangkan perkara ini kerana saya diberi tanggungjawab menyelaras pembangunan sukan negara,” katanya
ketika ditemui pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi 2023 di sini, hari ini.
Katanya, beliau percaya komitmen sama ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi penganjuran sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Jelasnya lagi, pertimbangan pemberian biasiswa itu berdasarkan kecemerlangan akademik atlet sukan itu selain prestasi baik ditonjolkan dalam sukan yang disertai.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya mahu atlet itu kelak bergelar seorang ahli sukan yang profesional dan berjaya dalam bidang sukan serta pekerjaaan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerangka dan proses pembangunan sukan negara tidak harus berhenti begitu sahaja biarpun kerajaan dan menteri bertukar, sebaliknya harus menjadi dasar penting kepada kerajaan.
“Jika kerajaan bertukar sekali pun, dasar sukan ini harus dikekalkan dan tidak harus berhenti begitu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi 2023 yang disertai 100 pasukan terdiri daripada murid sekolah bawah 10 tahun.
Dua kategori dipertandingkan iaitu bawah lapan tahun dan bawah 10 tahun yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 bagi johan diikuti RM4,000 (naib johan), RM3,000 (ketiga) dan RM1,000 (keempat). – UTUSAN