KUALA NERUS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan menyebar fitnah bahawa pemimpinnya meninggalkan Islam.
Sedangkan kata Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya berusaha keras untuk membanteras penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah selain menjaga kepentingan Islam, Melayu serta Bumiputera.
“Kerajaan Perpaduan yang saya pimpin tidak izinkan orang curi duit, tidak izinkan hukum orang sewenang-wenang, masih tetap Islam, jaga kepentingan Melayu dan Bumiputera.
“Jadi tidak adil fitnah kita tinggalkan Islam dan agama dan kelompok tertentu saja jaga Islam dan agama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Timur di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan meletak harapan tinggi kepada sahabat AIM menjaga badan tersebut untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan penduduk di Terengganu memberi sokongan kepada wakil kerajaan untuk menyalurkan bantuan.
“Minta kawan-kawan seluruh negeri Terengganu beri kerjasama pastikan orang yang menawarkan diri untuk menjadi wakil saya di Terengganu,” ujarnya.
Pada majlis itu Anwar turut menyaksikan penyerahan empat sijil pengiktirafan secara serentak unruk rekod kebangsaan daripada Malaysia Book of Record (MBR) kepada AIM
Katanya, rekod kebangsaan pertama dicapai AIM adalah mesyuarat usahawan wanita terbesar secara dalam talian melibatkan 4,491 pusat.
Rekod kedua pula pembiayaan tertinggi diluluskan secara serentak kepada usahawan wanita iaitu sebanyak RM32.7 juta.
Manakala rekod ketiga adalah bacaan Ikrar usahawan wanita teramai melibatkan seramai 183,112 orang yang juga kehadiran ahli mesyuarat usahawan wanita teramai. –UTUSAN