Kerajaan jamin sedia peruntukan cukup tingkat kefahaman Islam - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin sedia peruntukan cukup tingkat kefahaman Islam

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Tilawah dan Mengahafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan  menyediakan peruntukan dan sokongan mencukupi bagi meningkatkan kefahaman mengenai Islam sebagai usaha menangani Islamophobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting kerana Islamophobia telah terbukti mewujudkan penjajahan imperialism dan menyekat kemaraan Islam.

Malah, katanya, pemikir Palestin Edward Said menyatakan yang menentang Islam itu jahil dan dangkal tentang Islam.

“(Oleh itu) tanggungjawab kita di negara dalam mengungkapkan idea Malaysia Madani mestilah cuba mengangkat martabat umat negara ke lebih baik.

“Kita mampu sekiranya kita bersatu, kita mampu sekiranya kita memberikan tekad usaha yang lebih untuk memahami al-Quran, baca dan berikan penjelasan, pencerahan tentang apa maksud Islam dalam negara pelbagai kaum, pelbagai agama.

“Saya mengulangi di negara ini bahawa Islam agama Persekutuan, akan terus mempertahankan akidah, akan terus menyebarkan Islam dan menyediakan peruntukan dan sokongan yang mencukupi untuk latihan kepada Islam yang tidak memahami dan melaksanakan program-program Islam dan pembaharuan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 Tahun 1445 H / 2023 M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.

SEBAHAGIAN tetamu Majlis Tilawah dan Mengahafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

MTHQA berlangsung selama enam hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos depan melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran dan pertandingan hafazan al-Quran.

Penganjuran MTHQA kali ini melibatkan seramai 76 peserta keseluruhannya dari 52 buah negara yang terdiri daripada 36 orang peserta tilawah dari 27 buah negara dan 40 orang peserta dari 30 buah negara.

Malaysia menghantar seramai empat peserta, masing-masing dua peserta bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Anwar berkata, kerajaan tetap menyantuni dan memberi jaminan keselesaan hidup kepada semua warga.

Katanya, ini kerana semua perlu akui bahawa Malaysia sebagai satu negara pelbagai kaum.

“Negara ini akan melindungi hak setiap warganegara termasuk yang bukan Islam (sama ada penganut) Kristian, Hindu atau Buddha di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya