SHAH ALAM: Peguam pasangan selebriti, Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, berharap kemelut rumah tangga anak guam mereka dapat diselesaikan secara baik, Khamis ini.
Peguam mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader, kedua-dua pihak telah berbincang secara baik dan mencapai kata sepakat berhubung kes tuntutan hadanah interim, nusyuz dan perceraian dengan keputusan dijangka diketahui pada hari tersebut.
“Keputusan bagi permohonan kes hadanah interim inter-parte (hak penjagaan anak sementara) telah dicapai namun hanya akan diketahui Khamis ini.
“Kedua-dua pihak juga telah berbincang berkenaan tuntutan cerai yang juga bakal diketahui pada lusa.
“Satu perjanjian penyelesaian sudah disediakan dan kedua-dua pihak telah memasukkan semua terma untuk selesaikan kes ini secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dekat sini, hari ini.
Akberdin dan Diana hadir bagi mendengar sebutan kes tuntutan hadanah interim yang berlangsung di mahkamah itu pagi tadi.
Farid bagaimanapun tidak menghadirkan diri atas faktor kesihatan.
Kemelut rumah tangga pasangan selebriti tersebut tercetus selepas Diana memfailkan permohonan cerai pada 10 Mac lalu.
Dalam pada itu, Akberdin memaklumkan kedua-dua pihak perlu hadir semula ke mahkamah pada 21 Ogos depan untuk merekodkan terma-terma persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan mengesahkan hak penjagaan interim kedua-dua anak pasangan itu, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, masih dimiliki Diana.
“Insya-Allah kami cuba selesaikan semua tuntutan sekali gus supaya tidak perlu melakukannya berulang kali.
“Kedua-dua pihak telah capai kata sepakat berhubung isu penjagaan anak cuma kandungannya tidak boleh dikongsi selagi keputusan akhir belum ditetapkan.
“Buat masa ini, perintah hadanah interim yang ditetapkan mahkamah sebelum ini masih diteruskan iaitu berpihak kepada Diana,” jelasnya.