BANYAK kali juga perkara ini berlaku, kebetulan pada setiap kali Cik Bunga masuk ke sesi live artis dan pelawak senior ini di Tiktok.
Dia ini memang rajin buat live. Boleh dikatakan saban hari juga sebab dia suka berinteraksi dengan peminat di media sosial.
Tetapi, itu yang membuatkan Cik Bunga pelik juga. Kalau dia suka berinteraksi dengan peminat kenapa pada masa yang sama dia suka menyindir-nyindir peminatnya di media sosial.
Kenapa Cik Bunga kata begitu? Sebab beberapa kali juga Cik Bunga tengok, bila peminat bertanya kepadanya soalan seperti ‘lama tak tengok awak berlakon’, ‘rindu nak tengok awak di kaca TV’, rindu dengan lakonan dan lawak-lawaknya yang satu ketika itu memang popular, namun semua itu disambut dengan kata-kata sindiran oleh pelawak ini.
Cik Bunga yang tengok gelagatnya begitu pun rasa tak senang dan menjengkelkan. Peminat itu mungkin tiada niat lain pun, sekadar bertanya dan meluahkan rasa rindu pada pelawak tersebut yang sudah lama tidak ditatap di kaca televisyen.
Iyalah, tidak semua ada kesempatan nak tengok TV setiap masa. Kalau pun pelawak itu ada muncul di kaca televisyen, mungkin ada yang tak sempat nak tonton naskhah lakonan atau program yang dia terlibat sama.
Bagi Cik Bunga tak perlu sampai nak sindir-sindir. Macam mana lah orang jadi tak meluat dengan awak. Sepatutnya, bila umur makin tua ini, lebih manislah sikit perangainya.
Kalau peminat tanya, jawab sajalah dengan santai. Lagipun awak sendiri juga yang buat sesi live itu. Bukannya peminat itu bertanya dengan ayat biadab. Eh, Cik Bunga pula yang geram!