PARIT BUNTAR: Pesawah kini boleh menarik nafas lega berikutan pengumuman kerajaan yang menaikkan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 satu tan metrik mulai esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap pesawah.
“Pesawah sudah lama menantikan pengumuman sebegini dan kali terakhir kenaikan subsidi padi ini ialah kira-kira 25 yang lalu.
“Dengan pengumuman ini, pesawah di negara ini akan memperoleh sebanyak RM1,700 bagi satu tan metrik pengeluaran padi mulai esok,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Permai di sini hari ini.
Program dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mohamad, beliau difahamkan kenaikan subsidi padi itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 billion setahun.
“Kenaikan subsidi yang paling akhir adalah semasa Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan 25 tahun lalu, Alhamdulillah dengan kenaikan subsidi ini nasib pesawah terbela,” katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut, Anwar mengumumkan kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik berkuat kuasa esok.
Perdana Menteri berkata, dengan langkah itu bermakna pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan pesawah.
Menurutnya, kenaikan kadar SSHP itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan dengan itu, jumlah peruntukan SSHP akan mencecah RM1 bilion setahun. – UTUSAN