KANGAR: Seluruh rakyat perlu memelihara kemerdekaan yang telah dikecapi agar ia dapat diwarisi generasi muda pada masa hadapan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, walaupun negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, mahu pun agama namun jiwa seluruh rakyat terjalin ikatan dan tercantum di titik persamaan.
“Justeru, generasi muda yang kaya dengan idea-idea baharu mesti berani untuk tampil menerajui pembangunan, menghadapi pelbagai cabaran, serta bijak mengadaptasi dalam apa jua keadaan,” katanya berucap pada Majlis Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, malam tadi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan majlis sambutan yang cukup meriah itu.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa atau minda penjajah namun bermaksud menghayati semangat itu dengan menyayangi negara sepenuh hati dan sanggup berkorban dengan apa cara sekali pun.
Beliau berkata, negara yang merdeka membolehkan rakyatnya menetap dengan perasaan aman, adil, bebas untuk bergerak ke mana-mana tanpa rasa takut, serta saling memahami dan hormat-menghormati.
“Hakikatnya, kemerdekaan yang sebenar bukanlah hanya bebas dari penjajahan kuasa luar kerana sekiranya kita menyoroti lipatan sejarah, banyak negara yang sekali pun tidak ditadbir oleh penjajah namun tetap dianggap sebagai negara yang dijajah kerana sikap pemerintah yang tidak mengamalkan keadilan sebenar,” katanya.
Di samping itu, Mohd Shukri berkata, sambutan hari Kebangsaan pada kali ini sememangnya amat bermakna buat dirinya dan seluruh anggota kerajaan negeri kerana ini merupakan kali pertama pentadbiran baharu menyambut hari yang penuh bersejarah bersama-sama dengan rakyat.
Tambahnya, walaupun perjalanan pentadbiran ini baru sahaja bermula, kepercayaan dan sokongan daripada seluruh rakyat dapat membantu dalam memastikan negeri ini terus maju dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain.
“Terima kasih atas sokongan, kerjasama, bantuan dan teguran yang telah diberikan kepada kami bagi membangun dan memajukan negeri Perlis,” katanya.-UTUSAN