SEPANG: Hujan gerimis menyambut ketibaan jenazah arwah Heikal Aras Abdul Azim, 45, di kediaman keluarganya di Desa Pinggiran Putra, di sini kira-kira pukul 1.20 petang tadi.
Jenazah tiba dengan van jenazah sambil diiringi kenderaan peronda polis sebelum disambut oleh ahli keluarga arwah termasuk ibu bapanya, Abdul Azim Aras, 76, Noorhizan Mohd Salleh, 68.
Kelihatan balu Allahyarham, Christine Yong dan tiga anaknya tidak dapat menahan kesedihan sebaik sahaja van jenazah tiba.
KELIHATAN balu Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim , Christine Yong dan tiga anaknya tidak dapat menahan kesedihan sebaik sahaja van jenazah tiba sejurus selepas jenazah tiba di kediaman keluarganya di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya. – VIDEO OLEH MOHD HUSNI MOHD NOOR
Turut hadir memberi penghormatan sanak saudara arwah, ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan arwah yang tiba di kediaman sejak pukul 9 pagi tadi.
Terdahulu, satu majlis tahlil turut diadakan di perkarangan kediaman arwah sementara menunggu ketibaan jenazah.
Sebaik tiba, jenazah turut disembahyangkan yang diimamkan sendiri abang sulung arwah, Husnein Aras, 46.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya tengah hari ini.
Terdahulu, jenazah di bawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kira-kira 11 pagi tadi sebelum di bawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang untuk disembahyangkan. – UTUSAN