PUTRAJAYA: Kelantan boleh ditawan kembali oleh Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan jika pengundi luar membuat keputusan dan pilihan lebih bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perubahan politik di Kelantan hanya boleh dilakukan jika pengundi luar menyokong BN kali ini.
“Saya harap mereka (pengundi luar) fikir banyak kali, jangan pula mereka balik semula ke Lembah Klang, mereka meninggalkan segala beban dan masalah kepada keluarga di kampung.
“Dalam beberapa pilihan raya lalu, pengundi yang tidak mahu mengubah apa-apa di Kelantan adalah mereka yang tinggal di luar negeri itu dan mereka yang tinggal di Kelantan pula sebenarnya ingin berubah.
“Saya akui sukar untuk membaca sikap pengundi luar kerana kadangkala di Lembah Klang mereka semacam sokong Kerajaan Perpaduan tapi bila sampai sempadan Kelantan mereka berubah fikiran,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ahmad berkata, beliau berharap pengundi luar memberi peluang untuk Kerajaan Perpaduan selesaikan masalah utama di negeri itu termasuk kemiskinan tegar, bekalan air dan peluang pekerjaan anak muda.
Justeru, beliau merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan dalam tempoh lima tahun dan jika isu berkenaan tidak diselesaikan, maka boleh mengambil semula negeri itu.
“Saya faham negeri ini sebab itu saya cerita lebih sikit pasal hari ini. Saya berpengalaman lebih 10 tahun membantu Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kelantan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau mengulangi keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan dapat menawan lima negeri pada PRN kali ini berdasarkan lawatannya ke lima negeri itu.
Katanya, dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Selangor mudah untuk ditawan, manakala Kedah dan Terengganu pula negeri bersifat ‘swing state’ (mudah berubah) di mana sekejap menyokong pembangkang dan sekejap berubah kepada BN.
Mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa akan sapu bersih enam negeri pada PRN ini, Ahmad berkata, ia satu pandangan yang tidak benar sama sekali.
“Dia (Abdul Hadi) masih berada di bawah kepompong keyakinan palsu,” katanya.
Ditanya mengenai naratif ‘undi Perikatan Nasional (PN) masuk syurga’, Ahmad berkata, ia bukan naratif baharu sebaliknya dakyah lama yang diperbaharui pada PRN kali ini.
“Saya berharap rakyat tidak terpukau dengan perkara dan naratif sebegitu,” katanya. – UTUSAN