Kelahiran hidup catat peningkatan 12 peratus, Selangor tertinggi

Kelahiran hidup catat peningkatan 12 peratus, Selangor tertinggi

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kelahiran hidup di negara mencatatkan peningkatan sebanyak 13 peratus iaitu 105,961 kelahiran berbanding suku tahun kedua tahun lalu yang merekodkan 93,799 kelahiran.

Daripada jumlah itu, kelahiran baharu dalam kalangan orang Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 68.4 peratus atau 72,500 kelahiran.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, kelahiran bayi lelaki adalah seramai 54,747 orang berbanding perempuan 51,214 orang.

Katanya, Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi iaitu 20,447 kelahiran atau 19.3 peratus.

“Jumlah kelahiran terendah dicatatkan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sebanyak 357 kelahiran atau 0.3 peratus.

“Ibu berusia 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi pada suku tahun kedua 2023 iaitu 53,679 atau 50.7 peratus diikuti golongan berusia 20 hingga 29 tahun (42.3 peratus), 40 tahun ke atas (5.2 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, kelahiran bagi bumiputera lain mencatatkan peningkatan iaitu 12.9 peratus berbanding 12.6 peratus pada suku tahun kedua tahun lalu.

Katanya, turut mencatatkan peningkatan adalah kelahiran dalam kalangan kaum Cina iaitu sebanyak 9.1 peratus berbanding 8.9 peratus pada tempoh masa sama.

“Kaum India pula merekodkan penurunan kepada 3.8 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 3.9 peratus tahun lalu,” katanya.

“Sebanyak 50,239 kematian direkodkan pada suku tahun kedua 2023 iaitu peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding suku tahun kedua 2022 sebanyak 49,893 kematian.

“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,495 manakala 21,744 kematian bagi perempuan,” katanya.

Mohd Uzir berkata, bagi tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,765 kematian atau 15.5 peratus manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 73 kematian atau 0.1 peratus.

Dari segi usia pula, katanya, bilangan kematian berusia 60 tahun dan lebih merekodkan jumlah tertinggi iaitu 35,415 kematian atau 70.5 peratus, diikuti usia 41 sehingga 59 tahun sebanyak 19.6 peratus.

Bilangan kematian berusia 15 sehingga 40 tahun pula mencatatkan sebanyak 7.6 peratus, manakala yang berusia 0 sehingga 14 tahun sebanyak 2.3 peratus.

“Kaum Melayu menyumbang 52.9 peratus atau 26,610 kematian daripada jumlah kematian pada suku tahun kedua 2023 berbanding pada 2022 sebanyak 52.7 peratus.

“Kematian bagi kaum  Cina meningkat kepada 26.2 peratus pada suku tahun kedua 2023 berbanding 25.8 peratus pada suku tahun kedua 2022.

“Bagi bumiputera pula, jumlah kematian menurun kepada 10.2 peratus berbanding 10.8 peratus pada tahun lalu, manakala bangsa India kekal pada 8.1 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya