Kekalahan berterusan UMNO punca ahli khianat - Veteran UMNO

Kekalahan berterusan UMNO punca ahli khianat – Veteran UMNO

MUSTAPHA yaakub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kekalahan berterusan UMNO sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru sahaja berlalu disifatkan berpunca daripada pengkhianatan oleh ahlinya sendiri.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, UMNO masih relevan dan akan tetap relevan selagi ahlinya tidak mengkhianati UMNO.

Katanya, walaupun keputusan PRN tidak berpihak kepada UMNO, tetapi penyokong setia tetap mempertahankan parti itu.

“Malangnya akibat ahli yang tidak setia dan belot, maka UMNO kecundang dan kalah teruk.

“Dalam erti kata yang mudah UMNO kalah teruk sejak PRU15 sehingga PRN yang baru lalu kerana dikhianati oleh ahlinya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pada PRU15 lalu, UMNO hanya memenangi 30 kerusi, dan pada PRN kali ini parti itu meraih lebih sedikit iaitu 19 kerusi.

Mustapha berkata, justeru, UMNO perlu bangkit dan menyusun strategi perang yang baharu dan tidak boleh lagi mengambil sikap bertahan, tetapi mesti ‘menyerang’.

Katanya, UMNO perlu menjelaskan beberapa isu penting yang sukar diterima dan difahami oleh ahli, terutama penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP dan slogan ‘No Anwar No DAP’.

“Rata-rata ahli tidak faham rasional di sebalik kerjasama itu. Masa lapan bulan yang singkat tidak sempat untuk menyampaikan kefahamannya kepada ahli. Bahagian dan cawangan gagal untuk menjelaskan kepada ahli.

“Kepimpinan UMNO jangan mengambil remeh tentang perkara ini. Mereka mesti turun padang bertemu dan berdialog dengan ahli. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan UMNO terus dikhianati oleh ahli,” katanya.

Pada masa sama, Veteran UMNO mengalu-alukan kenyataan Presiden yang akan mengambil tindakan pembersihan besar-besaran terhadap ahli-ahli yang belot dan mengkhianati UMNO.

Jelasnya, tidak ada gunanya UMNO berbangga dengan jumlah ahli yang ramai tetapi tidak berkualiti dan setia kepada parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya