KANGAR: Dalam memperkasakan pembangunan sukan bola sepak di negara ini, Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) bakal menganjurkan Kejohanan Bola Kid DFB Cup pada Oktober depan.
Kejohanan tersebut yang memasuki siri keempat itu bakal membawa kelainan apabila penyertaan turut dibuka buat pasukan bawah 12 tahun dari seluruh negara.
Penaung Abata, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebanyak 32 pasukan disasarkan menyertai kejohanan itu yang dianjurkan bagi memperkasakan lagi pembangunan akar umbi bola sepak negara.
“Buat masa ini kita sasarkan 32 pasukan namun sekiranya pihak kami berjaya mendapat peluang menganjurkan kejohanan ini di padang yang lebih besar maka kita akan buka penyertaan kepada 64 pasukan.
“Tarikh dan lokasi penganjuran kejohanan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat namun kita merancang untuk melaksanakannya pada Oktober ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Santai Bersama Pasukan Liga Super Perlis 2023 dari Parlimen Kangar di sini, semalam.
Dalam program berkenaan, Fathul Bari berkesempatan beramah mesra dengan wakil setiap pasukan dari kawasan Kangar yang menyertai Liga Super 2023 pada musim ini.
Antara wakil yang hadir terdiri daripada pasukan Guar Syed Alwi FC, Legacy Edura Utara, Lion Junior FC, KSMR Kangar, Kangar City FC dan Anak Nelayan FC.
Hadir sama, Presiden Abata, Mohd. Hafizi Che Yusof dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar, Saiful Fariddil Jasmi. – UTUSAN