Kejohanan Bola Kid DFB Cup 2023 kembali, platform pembangunan akar umbi - Utusan Malaysia

Kejohanan Bola Kid DFB Cup 2023 kembali, platform pembangunan akar umbi

Fathul Bari Mat Jahya (duduk, tiga dari kiri) dan Mohd Hafizi Che Yusof (dua dari kiri) bergambar dengan wakil-wakil pasukan bola sepak sewaktu Program Santai Bersama Pasukan Liga Super Perlis 2023 dari Parlimen Kangar di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam memperkasakan pembangunan sukan bola sepak di negara ini, Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) bakal menganjurkan Kejohanan Bola Kid DFB Cup 2023 dijangka berlangsung pada Oktober depan.

Kejohanan tersebut yang memasuki siri keempat itu bakal membawa kelainan pada kali ini apabila penyertaan turut dibuka buat mana-mana pasukan bawah 12 tahun dari seluruh negara.

Penaung Abata, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebanyak 32 pasukan disasarkan menyertai kejohanan itu yang dianjurkan bertujuan bagi memperkasakan lagi pembangunan akar umbi bola sepak negara.

“Buat masa ini kita sasarkan 32 pasukan namun sekiranya pihak kami berjaya mendapat peluang menganjurkan kejohanan ini di padang yang lebih besar maka kita akan buka penyertaan kepada 64 pasukan.

“Tarikh dan lokasi penganjuran kejohanan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat namun kita merancang untuk melaksanakannya pada Oktober ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Santai Bersama Pasukan Liga Super Perlis 2023 dari Parlimen Kangar di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, Fathul Bari berkesempatan beramah mesra dengan wakil setiap pasukan dari kawasan Kangar yang menyertai Liga Super 2023 pada musim ini.

Antara wakil yang hadir adalah terdiri daripada pasukan Guar Syed Alwi FC, Legacy Edura Utara, Lion Junior FC, KSMR Kangar, Kangar City FC dan Anak Nelayan FC.

Hadir sama, Presiden Abata, Mohd Hafizi Che Yusof dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar, Saiful Fariddil Jasmi.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, menerusi penganjuran ini, Abata akan berusaha memastikan kejohanan tersebut dapat memberi keberhasilan positif dalam pembangunan sukan bola sepak.

“Kita juga akan cuba meminta sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk turut sama membantu dalam memastikan kejayaan program ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya