PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan India apabila berjaya mendarat di permukaan bulan, semalam.
Perdana Menteri berkata, beliau melihat pencapaian India menawan bulan itu turut menandakan kejayaan buat seluruh Asia.
“Mengutuskan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi dan rakyat Republik India atas kejayaan mendaratnya pesawat ruang angkasa India Chandrayaan-3 (CY3) semalam di kutub selatan bulan yang belum pernah diterokai manusia.
“Malaysia turut berbangga atas pencapaian ini dan ternyata ini adalah ‘The Asian Century’. Tahniah India,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kejayaan India secara tidak langsung menunjukkan keupayaan negara tersebut dalam penerokaan angkasa lepas, selaras dengan usaha kerajaannya untuk memacu pelaburan dalam bidang tersebut.
Misi tersebut menjadi tumpuan dunia dengan masyarakat menunggu dengan penuh debaran untuk menyaksikan sama ada kapal angkasa tersebut berjaya atau tidak mendarat di bulan.
Menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), CY3 berjaya mendarat di bahagian kutub selatan bulan.
Untuk rekod, misi tersebut merupakan percubaan kedua India untuk mendarat di bulan dan kejayaan itu berlaku kurang seminggu selepas misi kapal angkasa Russia, Luna-25 gagal.
Perayau (rover) ialah robot kecil mudah alih yang dihantar oleh saintis ke bulan dan planet untuk mendarat di permukaan dan rover boleh mengambil gambar serta mengumpul maklumat mengenai planet dengan mengambil bacaan suhu, batu dan sampel tanah.
Misi CY3 dilancarkan pada 14 Julai lalu dari pusat angkasa utama di India yang terletak di negeri Andhra Pradesh. – UTUSAN