KANGAR: Kedai emas Hajjah Halijah meneruskan tradisi dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan setiap tahun dengan mengedarkan 300 Jalur Gemilang secara pandu lalu kepada kenderaan di hadapan premis tersebut di sini, baru-baru ini.
Agihan yang dilaksanakan bermula pada pukul 4 petang itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila semua Jalur Gemilang tersebut selesai diedarkan hanya dalam masa kira-kira 30 minit.
Malah, orang ramai teruja menerima bendera Malaysia yang diagihkan tersebut untuk dikibarkan di kenderaan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, program agihan itu bertujuan menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat khususnya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini.
Katanya, Jalur Gemilang itu diedarkan bagi menaikkan semangat orang ramai agar mereka dapat bersama-sama menyemarakkan suasana kemerdekaan dengan bersama-sama mengibarkan bendera kebangsaan.
“Kedai emas Hajjah Halijah meneruskan tradisi agihan Jalur Gemilang pada tahun ini kepada kenderaan yang melalui kawasan premis perniagaan kami dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.
“Selain itu, penganjuran program ini disekalikan sempena sambutan ulang tahun kelahiran saya bersama ibu, Halijah Saad dan ayah, Shukri Othman yang merupakan pengasas perniagaan ini,” katanya.
Selain di Kangar, Mohd. Shaiful berkata, Jalur Gemilang tersebut turut diedarkan sekitar cawangan kedai emas mereka yang lain.
Katanya, program tersebut diteruskan lagi pada masa-masa akan datang bagi menyuburkan semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda.
“Kita cuba meneruskan lagi program ini pada tahun akan datang dan dijadikan sebagai aktiviti tahunan kami,” katanya.-UTUSAN