PADANG TERAP: Rakyat Kedah perlu memberi undi kepada pihak yang mampu membentuk kerajaan yang kukuh dan boleh berkata tidak kepada sesiapa saja termasuk Perdana Menteri, jika keputusan dibuat tidak menguntungkan negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk itu perlu memastikan pihak lain mengikuti keputusan munasabah dibuat Kedah untuk kepentingan negeri serta rakyat.
“Sebarang keputusan kita buat, mereka boleh ikut kita kerana alasan dan justifikasi diberikan adalah munasabah untuk kepentingan negeri dan rakyat negeri ini,” katanya ketika berucap pada Konvoi Gelombang Perikatan Nasional (PN) Padang Terap, di sini hari ini.
Katanya, jika negeri ini diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kedua-dua gabungan tersebut tidak akan berani berkata tidak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan pakatan yang dibentuk.
“Kalau beri negeri ini kepada ‘cak uban’ (Datuk Mahfuz Omar), kepada Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) atau Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid), mereka takkan berani katakan tidak kepada Anwar Ibrahim. Kerana mereka selama ini berpakat sekali.
“Kena ada satu keputusan yang kuat di Kedah agar kita dapat mengawal hasil mahsul negeri ini untuk kepentingan rakyat Kedah keseluruhannya. Bukan untuk kepentingan tauke-tauke,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan mengapa pemimpin yang menerajui Kerajaan Persekutuan seakan ‘pulun’ di negeri ini walaupun mereka mendakwa kerajaan Pusat tidak akan terjejas dengan apa jua keputusan pilihan raya negeri (PRN).
“Itu disebabkan oleh kekayaan negeri ini, sebab strategiknya kedudukan kita dari segi geopolitik di tengah-tengah Asia Tenggara. Orang Kedah kena sedar perkara itu serta kepentingan negeri ini.
“Kita nak pastikan orang yang jadi kerajaan di Kedah ini ada ikatan, kecintaan, kesetiaan dan kefahaman tentang geopolitik serta ekonomi masa depan agar dapat mengawal, sekali gus melindungi negeri ini. Tak ada pihak lain boleh buat semua tugas itu kecuali PN,” katanya. –UTUSAN