MUAR: Kebolehpasaran graduan merupakan satu cabaran nasional yang harus ditangani dengan usaha bersepadu daripada semua pihak.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Technology Depository Agency (TDA) berupaya membawa pemindahan teknologi dan kepakaran, menggalakkan pelaburan, memberi dimensi baharu dalam pembangunan modal insan serta melebarkan akses pasaran.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu boleh merentas sempadan sama ada di peringkat serantau mahupun global.
“Pelaburan keseluruhan sebanyak RM52.27 juta hasil kerjasama Indra Sistemas S.A. (Indra) selaku penyedia Program Kolaborasi Industri (ICP) membolehkan pembukaan makmal bernilai RM32.37 juta untuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pakai pemindahan kepakaran melalui latihan pelatih dan khidmat sokongan bagi penggunaan platform teknologi ini.
“Makmal kedua adalah Makmal EDEN Railway Signalling Simulator dan Automated Fare Collection (AFC) System yang akan memberi penekanan memberi penekanan kepada pemindahan kepakaran dalam sektor rel, khususnya dalam mengadaptasi suasana operasi sebenar bagi Projek MRT Laluan Putrajaya,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara KPT dan TDA dan Majlis Pelancaran Makmal-makmal UTHM di bawah inisiatif ICP di Dewan Kolej Kediaman UTHM Cawangan Pagoh di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dekat sini, hari ini.
Tambah Khaled, kerjasama itu bukan sahaja membantu institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan seperti UTHM meningkatkan kepakaran tempatan, tetapi berupaya melonjakkannya menjadi pusat kecemerlangan, seiring dengan sasaran hab pembangunan bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi wilayah Selatan.
“Harapan kita, usaha dan kerjasama strategik dan bersepadu antara agensi kerajaan ini bukan sahaja akan melonjakkan kecemerlangan IPT tempatan, menjadikan pengisian pengajiannya lebih berkualiti, relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN