PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk memulangkan kembali dua buku yang diambil dari sebuah kedai buku milik penulis Benz Ali di Wisma Central, di sini jika semakan mendapati isi kandungannya tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga menegaskan hanya merampas dua naskhah buku sahaja bukannya merampas satu toko buku.
Beliau berkata, pihaknya hanya mengambil dua buku berjudul Marx Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi tulisan Benz Ali sendiri.
“Istilah lebih tepat kami (KDN) pergi ambil dua buku sahaja bukan satu kedai, namun rampasan ini (seperti) konotasi satu kedai diambil.
“Cerita dia, kami hanya ambil dua naskhah buku sahaja, itu pun bertindak atas aduan awam, jadi pegawai kita bertindak atas aduan, pergilah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Katanya, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, rampasan itu dibuat bagi tujuan penyelidikan, semakan dan penelitian.
Saifuddin berkata, dua buku terbabit juga akan dipulangkan selepas siasatan mendapati tidak berlaku pelanggaran akta dalam isi kandungannya.
“Jadi bila tindakan mengambil dua naskhah buku itu mengundang tidak puas hati tuan kedai, jadi beritanya itu seolah-olah pihak berkuasa datang merampas satu kedai.
“Dua buku sahaja untuk tujuan kami selidik. Malah dari segi undang-undang membenarkan penguat kuasa untuk ambil,” katanya.
Sebelum ini, Benz Ali atau nama penuhnya Amir Hamzah Akal Ali kecewa apabila KDN pada 18 Ogos lalu menyerbu kedainya di Wisma Central, Kuala Lumpur dan merampas dua buku tersebut.
Jelasnya, buku tersebut tidak seharusnya dirampas susulan tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual. – UTUSAN