PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak ketinggalan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan dengan melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN sempena Hari Kebangsaan di Pulau Pinang, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid di Dewan Koperasi Sungai Gelugor, Pulau Pinang.
Penganjuran karnival tersebut yang diadakan secara on-ground event adalah salah satu program tanggungjawab sosial sorporat (CSR) PTPTN bertujuan menghayati dan meraikan Bulan Kebangsaan.
Melalui karnival itu, PTPTN menerapkan nilai kemerdekaan melalui kebebasan kewangan dalam kalangan masyarakat dengan perancangan kewangan yang baik dan merdeka daripada hutang.
Sempena karnival itu juga, terdapat pelbagai aktiviti disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak terutama dalam meningkatkan kesedaran penabungan seperti pertandingan Mewarna Merdeka x Simpan SSPN, Pertandingan Puzzle Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam dan banyak lagi.
PTPTN turut mengadakan pocket talk tentang kebebasan kewangan dan acara sukan rakyat yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendekati masyarakat setempat.
Malah, ia juga dimeriahkan dengan kerjasama rakan strategik melalui pembukaan gerai promosi dan jualan seperti Jualan Agro Madani dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pulau Pinang, KPJ Penang Specialist Hospital, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bayan Baru, Women Institution, ERAvengers, Pertubuhan Alumni Mahasiswa Pulau Pinang (AMPP) dan Pertubuhan Sejahtera Anak Malaysia (PERSAMA).
Sementara itu, PTPTN turut memberi sumbangan bakul makanan berupa barangan keperluan harian kepada 30 penerima sebagai usaha menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dan golongan asnaf.
Norliza berkata, pelancaran karnival tersebut selari dengan tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
“Penglibatan masyarakat setempat dalam karnival ini merupakan simbolik kepada rasa kasih dan cinta kita kepada negara. Saya berharap karnival ini dapat menjadi platform bagi mengukuhkan lagi keharmonian dalam kalangan masyarakat sekali gus meningkatkan imej positif PTPTN di mata masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah tetapi adalah perjuangan masyarakat untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, memiliki kekuatan jati diri dan semangat cintakan negara.
“Kemerdekaan juga membawa mesej tentang kepentingan masyarakat mempunyai perancangan kewangan yang baik untuk bebas merdeka daripada bebanan hutang,” katanya. – UTUSAN