Karnival Amal Hari Penyayang kembali, tawar hadiah menarik

Karnival Amal Hari Penyayang kembali, tawar pelbagai hadiah menarik

TUNKU Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (dua, kiri) bersama Muhammad Sanusi Md. Nor pada majlis perasmian Karnival Amal Hari Penyayang di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah tiga tahun menyepi ekoran penularan pandemik Covid-19, Karnival Amal Hari Penyayang anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) kembali dengan pelbagai aktiviti menarik yang berlangsung selama lima hari.

Karnival berusia 22 tahun itu diadakan sehingga Isnin ini di Pekarangan Stadium Darul Aman yang sarat dengan pengisiannya termasuk kempen kesihatan dan derma darah, karnival makanan dan gerai jualan, pertunjukan silat, himpunan belia berselawat, acara Malam Cinta Rasul dan ceramah agama.

Menurut Pengerusi YSB yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, masih dengan tema berhibur sambil menderma, karnival tahun ini berjaya mendana sebanyak RM300,000 sumbangan pelbagai syarikat korporat dan dermawan.

TUNKU Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (dua, kanan) menerima replika cek tajaan pada majlis perasmian Karnival Amal Hari Penyayang di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.

“Semua program dan projek di bawah perancangan YSB tidak akan tercapai tanpa sokongan dan sumbangan yang dihulurkan, termasuklah penganjuran karnival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian karnival tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Sempena perasmian karnival itu, aktiviti Larian Bendang Kedah dan Kayuhan Amal berslogan ‘We Ride and Donate’ berkonsepkan sukan sambil beramal turut disertai oleh Tunku Puteri Intan Safinaz dan Muhammad Sanusi bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, objektif utama penganjuran karnival itu adalah untuk membeli sebuah bas pemeriksaan kesihatan yang baharu bagi menggantikan bas lama yang beroperasi hampir 11 tahun.

“Objektif Karnival Amal Hari Penyayang pada tahun ini adalah untuk mendana kewangan bagi projek kesihatan iaitu pembelian sebuah bas pemeriksaan kesihatan yang baharu.

“YSB dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan pihak Sunway Group pada 2012 mewujudkan sebuah bas bagi pemeriksaan kesihatan bergerak atau Mobile Health Screening Unit.

“Kos operasi harian program itu ditanggung bersama oleh YSB dan NKF yang memerlukan belanja sebanyak RM150,000 setahun daripada setiap pihak,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini bas berkenaan berjaya melakukan saringan kepada 128,300 orang sejak dimulakan 11 tahun lalu di seluruh Utara Semenanjung termasuk Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

“Tidak kurang 10,000 orang disaring setiap tahun melalui bas ini. Bagi pembelian bas baharu pula, ianya adalah usaha sama antara YSB, Lions Club International, Lions Club Alor Setar, Lions Club of Langkawi dan NKF dengan kos pembelian sebanyak RM856,000,” katanya.

Berucap lanjut, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, YSB amat menggalakkan penglibatan orang ramai dalam aktiviti sukan dan gaya hidup sihat dengan penyertaan seramai 2,500 penduduk negeri ini dalam acara Larian Bendang dan Kayuhan Amal YSB.

“Bukan itu sahaja, pada 3 September ini turut diadakan pertandingan memancing di Kolam Titi Mega, Titi Haji Idris yang bakal menarik peserta dengan anggaran seramai 10,000 orang,” katanya.

YSB merupakan sebuah organisasi amal yang ditubuhkan pada 20 Ogos 1996 dan setelah 27 tahun pelbagai program dilaksanakan untuk memartabatkan agenda kebajikan, sumbangan komuniti serta membantu mereka yang memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya