LANGKAWI: Sebuah kapal persiaran ‘sunset cruise’ yang sedang membawa 26 pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Langkawi, kelmarin.
Kapal tersebut ditahan di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Pulau Dayang Bunting kira-kira pukul 6.30 petang kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit dikendalikan tiga kru terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Thailand berusia antara 31 hingga 51 tahun.
“Kapal itu disyaki melakukan beberapa kesalahan antaranya beroperasi tanpa juragan, sijil penumpang tamat tempoh dan gagal mempamerkan lesen bot,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, ketiga-tiga kru terbabit bersama kapal persiaran berkenaan ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Bukit Malut, di sini untuk siasatan lanjut.
Romli berkata, semua pengusaha kapal persiaran diminta untuk mematuhi segala aspek perlesenan, insurans dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal persiaran.
“Kita juga ingin mengingatkan pelancong supaya lebih peka untuk memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya. –UTUSAN