KUANTAN: Seramai 22 kanak-kanak taska YP Genius Nest Childcare Centre (YPGNCC) di sini cukup teruja apabila masing-masing berbasikal yang dihiasi Jalur Gemilang dan berarak mengelilingi Kompleks Yayasan Pahang di sini.
Program YPGNCC Merdeka Ride itu merupakan julung kali dianjurkan di taska terbabit yang mula beroperasi di kompleks itu pada Januari lalu.
Kemeriahan sambutan dengan kehadiran kanak-kanak, guru-guru dan ibu bapa jelas menunjukkan semangat patriotisme kepada negara sempena bulan kemerdekaan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelia taska itu, Siti Nurmazni Mazlan berkata, 22 kanak-kanak taska terlibat membabitkan usia antara dua hingga empat tahun.
“Memang mereka cukup bersemangat dan teruja berbasikal dihiasi Jalur Gemilang mengelilingi Kompleks Yayasan Pahang selama lebih satu jam bermula pukul 9 pagi.
“Ini program merdeka pertama sejak taska ini beroperasi Januari lalu. Insya-Allah ia akan diadakan lagi selepas ini,” katanya di sini semalam.
Siti Nurmazni berkata, program itu bertujuan membina jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak taska terbabit yang merupakan satu usaha yang tinggi nilai dan maknanya.
“Penting untuk kita terus kukuh dengan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dan ditanam dalam diri seawal usia muda atau bermula peringkat kanak-kanak.
“Ini penting kerana di peringkat awal inilah anak-anak perlu memahami dan seterusnya akan mencintai erti nilai kemerdekaan,” katanya.-UTUSAN