KUALA TERENGGANU: Seramai 216 kanak-kanak Tadika Yayasan Islam Terengganu Cawangan Kuala Terengganu di sini menyertai pertandingan pakaian beragam sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 di sini, hari ini.
Pertandingan tersebut diadakan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak tersebut.
Guru Besar tadika tersebut, Azizah Din berkata, seawal pukul 7 pagi, kanak-kanak tersebut tiba diiringi ibu bapa lengkap berpakaian dengan tema Hari Kebangsaan mengikut kreativiti masing-masing.
“Program diadakan dengan majlis perarakan kanak-kanak sebelum berkumpul di tapak perhimpunan untuk menyanyikan lagu-lagu patriotik bagi menyemai rasa cintakan negara.
“Kemudian, kita adakan sesi kuiz berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia, Jalur Gemilang dan soalan am mengenai negara untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Azizah berkata, kanak-kanak sangat teruja apabila dimaklumkan mengenai pertandingan itu dan ibu bapa juga digalakkan menyediakan pakaian yang menarik untuk mereka bagi menceriakan lagi sambutan hari ini.
“Alhamdulillah, mereka memahami prinsip asas kemerdekaan negara dan kita turut menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak ini agar dapat dijadikan pedoman hingga dewasa kelak,” katanya. – UTUSAN