KUALA KANGSAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan mati lemas ketika mandi bersama rakannya di Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil, Sayong Lembah di sini semalam.
Mayat Muhammad Miqaell Qabillah Azhar dijumpai pada pukul 7.55 petang oleh orang awam kira-kira 10 meter dari tebing sungai.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 7.46 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa mandi bersama seorang rakan di bawah jambatan tersebut pada pukul 5 petang sebelum dia dilihat tenggelam di dalam sungai
“Orang kampung yang cuba mencari mangsa dengan menyelam di dalam sungai telah menemui kanak-kanak itu di lokasi sama dia tenggelam iaitu kira-kira 10 meter dari tebing sungai,” katanya.
Menurut beliau, mangsa yang dibawa naik ke tebing telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 8.14 malam,” katanya. – UTUSAN