Kalimah Allah: Muhyiddin tidak hormat nasihat Majlis Raja-Raja

Kalimah Allah: Muhyiddin tidak hormat nasihat Majlis Raja-Raja

SAIFUDDIN Nasution Ismail (duduk, tengah) bersama calon PH DUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf beramah mesra ketika meninjau premis perniagaan di Jalan Putra, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali lagi memainkan isu kalimah Allah ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, kelmarin disifatkan sebagai tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan Muhyiddin itu juga dilihat tidak menghiraukan larangan pihak berkuasa supaya semua ahli politik tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada PRN ini.

“Nasihat Majlis Raja-Raja adalah isu ini tidak lagi dimainkan dan tidak boleh dipolitikkan. Kedegilan Tan Sri Muhyiddin amat dikesali, terus mainkan isu 3R di sebalik nasihat Raja-Raja Melayu.

“Kalau sebagai pemimpin politik Melayu Islam tidak boleh menghormati nasihat raja-raja, percayalah orang macam ini tidak akan menghormati sama sekali rakyatnya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR Kedah di sini hari ini.

Akhbar melaporkan, Muhyiddin dalam satu ceramah di Kapar, Klang mendakwa tindak tanduk kerajaan menangani isu kalimah ketika ini menjelaskan ia diterajui oleh bukan Islam.

Mengulas lanjut kata Menteri Dalam Negeri itu, tindakan Muhyiddin tersebut hanya mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat terutama ketika PRN ini.

“Keputusan (dibuat) Kabinet pada ketika Tun Dr. Mahathir (Mohamad) Perdana Menteri kali kedua iaitu kes yang dibicarakan di mahkamah berkaitan dengan isu ini dibuat penyelesaian di luar mahkamah. Malangnya, Tan Sri Muhyiddin tidak pernah menghormati keputusan Kabinet.

“Sebab pada dia, isu ini kalau terus ditiup dan dimainkan sentimennya akan memberi keuntungan politik kepadanya yang jelas tidak berniat untuk mengharmonikan kehidupan dan kerukunan hidup antara rakyat berbilang kaum. Dia mahu tonjolkan diri sebagai jaguh yang membela umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, amalan nepotisme dalam politik khususnya calon bagi pilihan raya bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia berlaku dalam hampir kesemua parti politik negara ini.

Beliau berkata, amat malang apabila hanya PKR dikaitkan dengan perkara itu sejak 1999 apabila isteri dan anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipilih sebagai calon dalam pilihan raya.

“Dalam politik negara, hal-hal begini dianggap sebagai satu kelaziman dan semua parti ada salasilah itu. Dalam UMNO ada, PKR ada, Pas dan Bersatu pun semuanya ada macam itu,  jadi ia adalah satu perkara yang biasa.

“Semasa Anwar masuk penjara, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah dicalonkan dalam pilihan raya. Tetapi, hujung pangkalnya rakyat yang buat pilihan, letaklah saudara-mara macam mana pun, kalau rakyat tolak, tolak juga,” katanya.

Beliau mengulas tentang tindakan parti itu mencalonkan Mohammed Firdaus Johari yang merupakan anak Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Johari Abdul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya