PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Michael Ang menempelak alasan pempengaruh TikTok, Abang Tesla yang kononnya terpaksa bernikah buat kali kedua atas alasan memerlukan zuriat sendiri.
Katanya, setiap perkara yang berlaku ada sebab musabab tersendiri dan sebagai manusia, kita perlu sentiasa bermuhasabah dengan diri sendiri.
“Oh sebab anak eh! Terfikir ke tak kenapa Tuhan tak nak bagi kita anak sendiri?
“Mungkin Tuhan tak nak spesis macam kita ditambahkan di dunia ini sebab kita banyak dosa dan buat benda bodoh!” sindirnya dalam Instagram, hari ini.
Pada masa sama, Michael turut memberikan contoh mengenai ibu saudaranya (saudara jauh) yang sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi belum direzekikan mempunyai anak kandung sendiri walaupun pasangan suami dan isteri itu tidak bermasalah.
“Akhirnya, bapa saudara saya bawa balik dua anak angkat. Seorang berketurunan India yang sekarang merupakan seorang peguam, manakala seorang lagi berasal dari Indonesia yang kini sudah mempunyai perniagaan sendiri.
“Selalu dengar dua anak ini ‘bergaduh’ sebab berebut hendak menjaga bapa dan ibu saudara di rumah mereka,” katanya.
Selepas bapa saudaranya meninggal, Michael berkata, ibu saudaranya mempunyai empat anak kandung dan kesemua harta sudah dibahagikan sesama mereka.
Akhirnya, ibu saudaranya diletakkan di rumah penjagaan warga emas dengan alasan susah untuk dijaga.
Terdahulu, tular rakaman video di TikTok yang dimuat naik Abang Tesla atau nama sebenarnya, Muhammad Khal Iltizam Yusry mengumumkan dirinya sudah berkahwin untuk kali kedua.
Menerusi kapsyen dalam video yang dimuat naik dalam platform berkenaan, Abang Tesla memberitahu yang perkahwinan keduanya itu mendapat restu isteri pertamanya, Nurmajdina.
Pernikahan itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen selepas lelaki itu memuat naik kenyataan: “Ustaz cakap isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai”.
Difahamkan, Abang Tesla sudah mengenali isteri pertama dan bercinta sejak zaman sekolah menengah.