Kacau ganggu kera paling tinggi di Melaka

Kacau ganggu kera paling tinggi di Melaka

RAIS Yasin ketika sesi pertanyaan lisan Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 1,972 aduan kacau ganggu hidupan liar diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, ancaman tertinggi membabitkan kera dengan 1,702 aduan, babi hutan (166), lotong (45), musang (24) dan lain-lain spesies (36).

Katanya, Perhilitan Melaka telah melaksanakan sebanyak 190 operasi bagi menangani konflik hidupan liar dengan manusia setakat Julai tahun ini.

“Jumlah tersebut meningkat berbanding 182 operasi dilaksanakan sepanjang tahun lalu. Pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk mengawal populasi haiwan liar ini antaranya pemasangan perangkap yang merupakan kaedah paling efektif dan selamat.

“Kerajaan negeri melalui Perhilitan telah melaksana Program Basmi Musuh Tanaman tahun ini dengan kos berjumlah RM1.19 juta bagi menyediakan 316 perangkap haiwan liar pelbagai jenis. Semua perangkap ini akan dipasang di kawasan konflik yang menerima aduan tertinggi bermula Julai tahun ini.

“Sehingga kini pihak jabatan dalam usaha mengedarkan 100 unit perangkap kera jenis corong kepada rakyat terlibat,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai inisiatif kerajaan negeri untuk mengawal hidupan liar.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) berhubung sinergi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan persatuan pencinta haiwan, Rais berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya kerajaan negeri sentiasa terbuka bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membela kebajikan haiwan terbiar khususnya anjing dan kucing.

Menurutnya, terdapat beberapa syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu perkara itu dilaksanakan.

“Pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sahaja menerima ribuan aduan anjing liar setiap tahun. Kalau hendak dikira dari sudut prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya, amat sukar untuk kita uruskan kalau tidak dapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan swasta.

“Bagi memastikan keselamatan orang awam dan kebajikan haiwan terjamin, PBT menekankan persatuan tersebut perlulah berdaftar, setiap anjing yang dipelihara perlu dilesenkan dan tidak boleh melepaskan anjing ke kawasan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya